Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Februari. - Kira-kira 700 warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyertai Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Surau, Istana Nurul Iman, yang diadakan bagi malam keempat.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Atur cara dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, manakala Sembahyang Sunat Tarawih Berjemaah dipimpin oleh Awang Muhammad Nur Hanis bin Ismail, bagi jemaah lelaki.
Di surau berasingan bagi jemaah perempuan pula, Sembahyang Fardu Isyak dipimpin oleh Dayang Norliza binti Abdul Jalil, manakala Sembahyang Sunat Tarawih diimamkan oleh Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji.
Acara diikuti dengan tazkirah yang bertajuk 'Hidupkan Bulan Ramadan dengan Asmaul Husna: Al-Malik (Yang Maha Berkuasa)'.
Tazkirah bagi jemaah lelaki disampaikan oleh Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian, manakala bagi jemaah perempuan disampaikan oleh Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan seterusnya majlis ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.